Paun-paun yang lain Paun_(jisim)

Dari segi sejarah di berbagai-bagai kawasan di dunia pada masa yang berbeza-beza dan untuk kegunaan-kegunaan yang berlainan, paun (atau terjemahannya) merujuk kepada berbagai-bagai piawai jisim (berat) yang agak serupa. Sesetengah daripada paun-paun yang llain dihuraikan di bawah.

Libra atau paun Rom

Rencana utama: Unit ukuran Rom kuno

Libra Rom atau paun Rom ialah satu unit jisim kuno yang setara dengan lebih kurang 327 gram. Ia dibahagikan kepada 12 uncia atau auns.

Paun Troy

Rencana utama: Berat Troy

Paun troy adalah setara dengan 12 auns troy dan 5,760 grain. Pada hari ini, grain adalah secocok dengan sistem-sistem unit jisim avoirdupois dan troy, dengan satu paun troy antarabangsa merupakan 373.241 721 gram.

Paun troy umumnya tidak lagi digunakan. Di Kanada, Australia, United Kingdom, dan tempat-tempat yang lain, ia tidak lagi merupakan unit perdagangan yang sah, dengan United Kingdom membatalkan penggunaannya pada 6 Januari 1879. Walaupun demikian, paun troy masih digunakan untuk mengukur logam-logam yang berharga seperti emas, perak, serta platinum, dan kekadangnya juga batu permata seperti baiduri.

Kebanyakan ukuran jisim logam-logam berharga yang menggunakan paun merujuk kepada paun troy, walaupun ia tidak dinyatakan secara tersurat. Sebilangan kekecualian yang terkenal adalah seperti yang berikut:

  • Ensikopedia Britannica (kini merupakan sebuah ensiklopedia Amerika Syarikat sejak kira-kira seabad) yang menggunakan kedua-dua paun avoirdupois dan auns troy, mungkin tidak menggunakan kedua-dua ini dalam rencana yang sama (kerana ia menghasilkan satu sistem yang janggal, dengan satu paun merupakan 14 7/12 auns)
  • Jisim tutup keranda batu Tutankhamun sebanyak 110 kilogram sering dinyatakan sebagai 242 atau 243 paun (avoirdupois) tetapi kekadang juga, walaupun kurang biasa, dinyatakan sebagai 296 paun (troy).

Livre

Rencana–rencana utama: Unit ukuran Perancis dan Mesures usuelles

Livre (diterjemahkan sebagai "paun") ialah nama Perancis untuk berbagai-bagai unit jisim sejak Zaman Pertengahan lagi, tetapi kini masih digunakan untuk merujuk kepada paun metrik (sila lihat di bawah):

  • Livre esterlin yang setara dengan lebih kurang 367.1 gram digunakan antara akhir abad ke-9 dan pertengahan abad ke-14. [4]
  • Livre poids de marc atau livre de Paris yang setara dengan kira-kira 7,555 grain atau lebih kurang 489.5 gram digunakan antara dekad 1350-an dan akhir abad ke-18. [4] Ia diperkenalkan oleh kerajaan Raja John II dari Perancis.
  • Livre métrique yang ditetapkan sebagai sama dengan satu kilogram atau 1,000 gram melalui dekri 13 Brumaire an IX antara tahun-tahun 1800 dan 1812 merupakan sejenis paun metrik rasmi (sila lihat di bawah). [4]
  • Livre usuelle yang ditetapkan sebagai sama dengan 500 gram melalui dekri pada 28 Mac 1812 dibatalkan sebagai satu unit jisim pada 1 Januari 1840 melalui dekri 4 Julai 1837. [4]

Paun Jersey

Paun Jersey yang setara dengan lebih kurang 7,561 grain ialah unit jisim yang usang yang digunakan di pulau Jersey antara abad ke-14 sehingga abad ke-19. Ia mungkin berasal daripada livre poids de marc Perancis (sila lihat di atas). [5]

Paun Menara

Rencana utama: Unit Inggeris

Paun Menara (bahasa Inggeris: tower pound) adalah sama dengan 5,400 grain. Sebelum tahun 1528, unit mata wang British yang juga dikenali sebagai paun ialah paun Menara perak yang bernilai lebih kurang £38 pada hari ini. Pada tahun 1528, piawai itu ditukarkan kepada paun Troy.

Libra mercatoria

Rencana utama: Unit Inggeris

Libra mercantoria atau paun merkantil yang juga dikenali sebagai paun saudagar atau paun komersil ialah unit jisim yang usang yang digunakan di England untuk kebanyakan barangan (selain daripada wang, rempah, dan ubat-ubat elektuari) sehingga abad ke-14. Ia adalah sama dengan 9,600 grain gandum (setara dengan 6,750 grain). Terdapat 12 auns Menara dalam satu paun Menara, dengan satu paun saudagar merupakan 15 auns Menara. [6]

Paun London

Rencana utama: Unit Inggeris

Paun London atau paun merkantil yang sama dengan 7,200 grain adalah sama juga dengan 16 auns Menara atau 15 troy auns.

Paun Scotland

Paun Scotland atau paun trone yang setara dengan antara 21 - 28 auns avoirdupois merupakan salah satu daripada sebilangan unit ukuran Scotland yang usang.

Paun bulu biri

Rencana utama: Unit Inggeris

Paun bulu biri (bahasa Inggeris: wool pound ) yang sama dengan 6,992 grain adalah unit jisim untuk mengukur bulu biri. [7]

Paun metrik

Rencana utama: Kilogram

Dalam bahasa Jerman, istilah untuk paun ialah Pfund, dalam bahasa Belanda, pond, dan dalam bahasa Sepanyol, Portugis, serta Itali, libra.

Di banyak negara selepas pengenalan sistem metrik, paun (atau terjemahannya) menjadi satu istilah tak rasmi untuk setengah kilogram atau 500 gram, seringnya menyusul pentakrifan semula yang rasmi untuk unit yang sedia ada semasa abad ke-19. "Pond" Belanda merupakan satu kekecualian kerana ditakrifkan semula secara rasmi sebagai 1 kilogram, dengan aunsnya merupakan 100 gram. Jika paun digunakan di Belanda pada hari ini, ia mungkin merujuk kepada 500 gram; takrif dahulunya kini tidak lagi digunakan. Bagaimanapun, auns 100-gram masih digunakan secara terhad.

Beratus-ratus paun yang lebih lama digantikan dengan cara ini. Contoh-contoh paun yang lebih lama termasuk paun Sepanyol, Portugal, dan Amerika Latin sebanyak sekitar 459 - 460 gram, paun Norway sebanyak 498.1 gram, dan banyak lagi paun-paun yang berbeza di kawasan-kawasan yang kini merupakan sebahagian negara Jerman.

Walaupun paun sebagai satu istilah tak rasmi di negara-negara tersebut digunakan pada tahap-tahap yang berbeza, neraca dan peranti ukur disenggat hanya dalam gram dan kilogram. Satu paun barang harus ditentukan dengan menimbang barang itu dalam ukuran gram. Penggunaan istilah paun biasanya dilarang untuk kegunaan rasmi dalam perniagaan.